Bersia, Perak

You are currently viewing Bersia, Perak

Untuk trip kali ini, kami seramai 5 orang bergerak awal pagi menaiki dua buah kereta 4WD yang dipenuhi dengan kelengkapan memancing, dua buah bot, bahan makanan, khemah dan banyak lagi. Kami bercadang untuk berkhemah di kawasan tapak perkhemahan sambil memancing di lubuk terbaik di sekitar kawasan tapak perkhemahan. Tiba di jeti kami menurunkan bot dan memunggah kelengkapan yang dibawa ke dalam dua buah bot yang telah berada di dalam air. Mengikut perancangan, kami akan berkhemah di salah satu tempat yang terdapat di Tasik Bersia, Gerik selama 2 hari satu malam. Kami bergerak menuju ke destinasi setelah semua barangan telah dimuatkan ke dalam bot. Hampir sejam perjalanan kami tiba di kawasan perkhemahan.

INFOPEDIA

Tasik Bersia adalah sebuah tasik jaringan sungai utama yang kecil, yang telah terbina dari Sungai Perak yang tenggelam akibat pembinaan Empangan Hidroelektrik Bersia.

Strike Pembukaan

Mata kami meliar mencari kelibat ikan di permukaan sepanjang perjalanan. Kami sempat mencuba nasib di beberapa lokasi sepanjang perjalanan menuju tapak perkhemahan. Kami berjaya mendapat tangkapan Sebarau namun saiz yang diperolehi agak kecil. Sampai sahaja di tapak perkhemahan kami menurunkan barang-barang dan memasang khemah.

Kami bergerak ke lubuk pertama dan mencuba dengan pelbagai jenis gewang seperti gewang permukaan, selaman cetek hinggalah gewang selaman dalam namun masih tidak mampu untuk mendapat strike daripada ikan yang digelar serigala tasik ini. Setelah beberapa jam memancing dan beberapa lubuk dicuba, kami mengambil keputusan untuk memancing di kawasan yang lebih berpotensi.

HAMPALA MACROLEPIDOTA atau juga dikenali sebagai Sebarau merupakan sejenis ikan air tawar yang terdapat di Malaysia.

Keindahan Alam Semulajadi

Lokasi pancing yang dikelilingi oleh kehijauan alam menjanjikan suasana yang sangat menyenangkan kepada sesiapa sahaja yang datang ke sini. Tambahan lagi, keadaan flora dan fauna yang terjaga seperti ini mampu memberikan kekuatan kepada ekosistem untuk bertahan dari semasa ke semasa demi generasi yang akan datang.

Selain daripada pengetahuan asas mengenai sesuatu lokasi pancingan dan jenis ikan sasaran yang dituju, pengetahuan asas berkaitan alat kelengkapan juga adalah menjadi satu kewajipan kepada setiap pemancing agar dapat mengelak daripada kumpau.

Trip kali kami menggunakan set pancingan ringan untuk teknik pancingan casting/ mengilat, dan jigging. Oleh itu, kelengkapan set ringan bagi kedua-dua teknik ini telah pun dibuat dengan penyediaan gewang-gewang terbaik keluaran Bakau dan Strike Pro demi memikat ikan sasaran utama kali ini iaitu Sebarau.

Berikut adalah punca utama kerakusan penghuni tasik Bersia ini terserlah dek lenggokannya ketika di dalam air. Antara gewang maut keluaran Strike Pro, Bakau dan Blue Eye menjadi asbab kepada kami tidak terjerumus dalam dunia kumpau !

STRIKE PRO Tornado Vibe EG – 204AUV

BAKAU Titanium Vibe TV – 100

Pemilihan Kekili Yang Sesuai

Selain daripada itu, penggunaan mesin kekili yang betul dan bersesuai dengan gaya pancingan perlu diambil berat. Hal ini adalah pemilihan mesin kekili turut mempengaruhi kelancaran pancingan anda pada hari tersebut. Untuk trip kali ini kami mengenakan mesin kekili keluaran Ajiking dan Banax bagi melancarkan lagi proses pancingan kami.

Kombinasi rod dan reel keluaran yang sama iaitu reel Ajiking RJ dengan rod Ajiking Gravity

Rod keluaran St. Croix Mojo Bass dipadankan dengan reel keluaran BANAX iaitu Apollo Titan Limited 111HRL

Kombinasi rod St.Croix Legend X dengan reel Banax Elan CS

Tarikan Yang Rakus

Tiba-tiba gewang yang dilontar disambar rakus lalu memecut laju ke dalam reba untuk melepaskan diri. Tetapi dengan pengalaman yang ada Jeff melayan asakan itu dengan tenang dan penuh sabar. Tidak lama selepas itu, si ikan tersebut mulai letih dan inilah masa yang sesuai untuk mulakan karauan. Karauan demi karauan dibuat hinggalah dapat mendaratkannya. Ternyata si rakus yang merentap gewang itu ialah sang Haruan yang bersaiz agak kasar. Kemungkinan gewang kali ini menarik nafsu ikan untuk menyambar. Tidak lama selepas itu rakan lain turut mendapat tangkapan sebelum kami mengambil keputusan untuk pulang ke kawasan perkhemahan kerana hari semakin gelap.

Seperti yang telah dijangkakan lokasi pancing di Bersia ini turut didiami oleh spesies lain seperti Haruan

Seperti yang telah dijangkakan lokasi pancing di Bersia ini turut didiami oleh spesies lain seperti Haruan

BAUNG / DURI : merupakan spesies ikan yang mempunyai sengatan turut ada di lokasi ini.

BERBEZA SAIZ : Dari jenis yang sama tetapi saiznya yang berbeza antara Sebarau yang berjaya didaratkan.

Strike Di Hari Terakhir

Hari terakhir di tasik Bersia, kami mengemas peralatan perkhemahan dan bergerak pulang. Sepanjang perjalanan pulang, sempat singgah di beberapa buah lubuk dan beberapa ekor Sebarau berjaya ditumpaskan. Faktor cuaca yang baik dan keadaan ikan yang frenzy membuatkan trip ini berlangsung dengan jayanya dengan hasil tangkapan yang memuaskan. Keadaan ini membuatkan kami berasa sedih untuk meninggalkan spot baik sebegini. Kami pasti akan kembali ke sini untuk terus menduga penghuni yang ada di sekitar sini.