Dilambung Badai Dicukai Tenggiri Ditimpa Kerosakan

You are currently viewing Dilambung Badai Dicukai Tenggiri Ditimpa Kerosakan

Ku sangka panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengah hari. Begitulah kesimpulan yang dapat digambarkan untuk trip kami kali ini. Kita hanya merancang tuhan yang menentukan. Dua hari memancing kami penuh dugaan dan cabaran yang memberi banyak peringatan dan pengajaran buat kami.

Setahun berlalu, ini kali pertama kesemua ahli  Ajiking Pro Fishing Team berkumpul dan mengadakan sesi pancingan bersama. Azley dan Salmi sanggup terbang dari Sabah, Izwan bergerak secara solo dari Melaka, Krel dari Kuantan, Shuhairin dan Shuhairul dari KL.

Untuk trip pada kali ini, kami merancang untuk memancing selama 2 hari. Hari pertama kami mensasarkan pada pancingan layaran dan hari kedua sasaran kami adalah merah,kerapu dan tenggiri. Dugaan bermula dari malam sebelum hari pertama pancingan kami. Ramalan angin kuat pada esok dan lusa membuatkan kami gundah gulana. Akur dengan kehendak alam pancingan layaran dibatalkan dan tetumpu kepada pancingan jigging dan casting sahaja.

Tajaan TCE Tackles Malaysia

Untuk trip kali ini, sekali lagi pihak TCE Tackles Malaysia berbesar hati untuk menaja peralatan dan aksesori.  Kami dibekalkan dengan joran baru dari Ajiking iaitu Ajiking Atom Light Jig dan Ajiking Atom Jig. Joran ini kami gandingkan dengan kekili baru juga dari keluaran Ajking iaitu Ajiking Phantom dan Ajiking Barramundi X. Selain itu, kami juga berpeluang menguji jig dan lure dari keluaran Bakau yang dikatakan amat digemari oleh ikan-ikan pemangsa di perairan ini kerana ianya menyerupai ikan tamban.

Kedua-dua joran terbaru ini dihasilkan khas untuk penggemar ‘ light game’. Ianya didatangkan dengan 2 variasi kekuatan iaitu PE 0.8-1.5 dan PE 1-3. Ajiking Atom Light Jig dilengkapi dengan Fuji reel seat, Fuji LY frame guide dan pemegang EVA. Manakala  Ajiking Atom Jig dilengkapi dengan  Sea guide XO konsep pada ring, Fuji reel seat dan pemegang EVA. Kedua-dua joran ini diperbuat dari ‘slim high modulus carbon blank’ yang menjadikan joran ini ringan tetapi kuat serta mempunyai daya angkatan yang sangat baik.

Hari Pertama – Layaran yang pergi belayar

Perancangan utama kami di hari pertama adalah untuk mendaratkan layaran. Ikan yang terkenal dengan kelajuan renangan ini sememangnya popular di Perairan Rompin. Kebiasaanya musim ikan layaran ini bermula bulan Jun hingga Oktober setiap tahun. Kami menyediakan set kekili Baramudi X yang dipadankan dengan rod Ajiking Zigmax untuk memerangkap ikan layaran ini.

Malangnya kami bergerak agak lewat pada pagi hari pertama disebabkan beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan. Jam 9.30 pagi baru selesai memuatkan ais dan bergerak menuju ke destinasi. Kami merancang untuk memancing di kawasan Merchong dan Pulau Berhala.

Perjalanan ke lokasi pertama mengambil masa hampir sejam. Setibanya di lokasi, belum sempat kami memasang jig pada peralatan masing-masing, Tekong kami iaitu Krel Nazeri yang terus menurunkan jig  mendapat sambaran yang kuat. Ikan menyambar jig sebaik sahaja ianya diturunkan. Beliau yang menggunakan joran baru Ajiking Atom Ligh Jig PE1-3 yang dipadankan dengan kekili Ajiking Barramundi X 3000 dan tali Ajiking Buster 9 PE2 berjaya mengawal larian ikan dan seterusnya mendaratkan ikan dengan mudah.

Tidak keruan dibuatnya, masing- masing dengan pantas menurunkan jig. Kami tidak perlu menunggu lama, jig yang dimainkan Izwan disambar namun sambaran tidak tepat pada mata jig dan menatijahkan beliau berputih mata. Selepas itu tiada sambaran mahupun patukan pada jig.

Kami cuba mencari umpan hidup yang akan digunakan untuk mengumpan layaran tetapi malangnya keadaan arus yang terlalu perlahan menyukarkan kami untuk mendapatkan umpan ikan hidup. Umpan yang biasa digunakan untuk menjerat layaran ialah ikan kembung dan juga sotong. Setelah mencuba sedaya upaya kami gagal mendapatkan umpan hidup untuk dijadikan hidangan si layaran kami memutuskan untuk menukar rancangan daripada mencari layaran dan mensasarkan ikan – ikan dasar laut. Selain dari factor tiada umpan hidup, kami semua teruja sewaktu tekong menaikkan gerong belang dengan balingan jig yang pertama. Biarlah si layaran terus belayar, kami mensasarkan penghuni dasar.

Kami bertukar ke lokasi lain untuk mencari penghuni dasar lautan Rompin. Kami menggunakan teknik ball rig seberat 15-20g yang dicangkuk umpan isi ikan dan udang pada mata kail untuk memerangkap ikan yang berada didasar laut. Teknik bottom ini disesuaikan dengan peralatan kami di mana kami menggerakkan umpan seperti kaedah jigging.

Shuhairul memecah kesunyian apabila umpan yang dimainkan disambar penghuni dasar. Ikan berjaya menyelinap ke dalam batu tukun, namun gandingan Joran Ajiking Atom Jig berkekuatan PE0.8-1.5 yang digandingkan dengan kekili Ajiking Phantom 2000 dan tali Tomman Neo PE1.5 berjaya mendesak ikan untuk keluar semula. Seekor ikan merah berskala 2kg berjaya didaratkan.

Pembantu tekong iaitu Sapiq yang turut memancing berjaya mendaratkan jenahak berskala 2.5kg. Shuhairin yang menggunakan berada di bahagian tepi bot turut menaikkan seekor Kaci bersaiz 1.5kg. Selepas itu silih berganti kami menjinakkan penghuni dasar antaranya kerapu, landuk dan kaci.

Jeritan secara tiba-tiba oleh Krel Nazeri menggamit suasana. Ikan dengan pantas menyelinap masuk ke dalam kawasan batu tukun dan putus. Sejurus kemudian, keadaan menjadi sunyi sepi. Krel mencadangkan kami bertukar lokasi dan mencuba untuk mencandat sotong mengabang. Seperti biasa, untuk mencandat, kami akan menggunakan candat dari keluaran Bakau yang sangat digemari oleh sotong di perairan ini. Sotong di sini cukup marah dengan candat hijau floro berbelang merah yang digunakan oleh Izwan. Sedang rakan yang lain gigih berusaha, Izwan telah menaikkan 4 ekor sotong mengabang bersaiz besar. Lantas, masing-masing mula bertukar kepada candat bewarna terang dan hasilnya beberapa ekor sotong lagi berjaya diperdaya oleh kami.

Arus di dasar masih lagi lemah, belum ada tanda-tanda ikan akan aktif menyambar jig. Hanya beberapa ekor buntal bersaiz gadang yang kami naikkan. Sotong pula seperti hilang tiba-tiba. Suasana tiba – tiba berubah. Cuaca terang diawal tadi bertukar menjadi gelap. Angin mula bertiup kencang dan menyebabkan keadaan laut semakin bergelora. Tampak dari jauh gerombolan besar awan hitam bergerak menuju ke arah kami. Kedengaran bunyi guruh memecah gempita..

Dalam situasi begini, lebih baik kami mengambil keputusan untuk tidak bergerak. Bot ditambat pada unjam sambil membiarkan angin dan ombak membadai kami. Sesi memancing terpaksa dihentikan kerana ikan tidak aktif dan ombak serta angin semakin kuat. Setelah beberapa ketika kelajuan angin mula berkurangan dan kami mengambil keputusan untuk pulang ke jeti. Namun pergerakan kami sangat perlahan disebabkan alunan ombak yang tinggi dan kuat. Perjalanan biasa yang mengambil masa 1 jam untuk pulang ke jeti bertukar menjadi lebih dari 3 jam. Walau terpaksa pulang awal kerana keadaan arus dan cuaca, namun kami bersyukur kerana selamat sampai di jeti. Keselamatan perlu diutamakan.

Hari kedua – Jig melayang, tenggiri ikut pulang.

Setelah trip hari pertama kami boleh dikategorikan kurang berjaya, kami bertekad untuk pergi ke lubuk yang jauh dan kurang tekanan dari pemancing lain. Belum pun mentari memaparkan wajahnya, kami telah bergerak menuju ke arah perairan Tioman. Perjalanan mengambil masa 2 jam setengah dan kesempatan ini digunakan untuk kami merehatkan badan serta minda.

Mengekalkan peralatan di hari pertama, kami perlu lebih berusaha di samping mengharapkan nasib dan rezeki menyebelahi kami. Hari ini kami menggunakan teknik fast jigging dan casting menggunakan gewang kerasa sasaran kami adalah si gigi tajam. Di setiap hujung leader di sambung dengan tali dawai Ajiking untuk mengurangkan risiko putus.

Setibanya di lokasi, diperhatkan terdapat banyak tenggiri di kawasan unjam ini, namun kami masih gagal menjinakkannya. Berulang kali tali kami dipotong seolah-olah dipermainkan. Mana tidaknya, tali kami dipotong di tali perambut floro bukan di perambut dawai malah jig dan gewang kami dicukai  

Mengalah tidak sekali, menyerah pasrah bukan prinsip kami. Usaha berterusan kami akhirnya membuahkan hasil. Gewang Bakau BNL 400S bewarna silver yang digunakan Shuhairul di sambar tenggiri, namun rabut. Tidak lama kemudian sekali lagi gewang beliau disambar tenggiri, kali ini beliau memastikan matakail tercangkup kemas dan aksi tarik menarik dilakukan dengan berhati hati. Akhirnya ikan berjaya ditewaskan dengan joran Ajiking Atom yang dipadankan dengan kekili Ajiking Barrramundi X 3000.

Selepas itu suasana kembali sunyi. Angin dan ombak semakin rancak beralun namun di dasar arus seperti terhenti. Sekali lagi kami berdepan situasi air mati. Kami menghentikan seketika aktiviti jigging dan casting dan memberi penumpuan kepada kaedah umpan hidup dan pancingan dasar. Teknik ball rig digunakan semula untuk memujuk ikan yang menjadi pasif disebabkan ketiadaan arus.

Kami bertukar ke lokasi yang lebih sesuai dengan teknik ini. Tidak perlu menunggu lama, pembantu tekong Syafiq berjaya menaikkan seekor kerapu bersaiz hidangan. Rakan-rakan lain turun menaikkan kerapu kecik dan buntal. Shuhairin bertukar ke teknik Apollo untuk mencari ikan kembung dan selar sebagai tambahan lauk untuk dibawa pulang, namun hasilnya kurang memberangsangkan.

Suasana hambar membuatkan kami bersilih ganti berhenti untuk melepaskan lelah dan menikmati makan tengahari. Selepas makan, tekong Krel mencadangkan kami berpindah ke lokasi seterusnya memandangkan arus sudah mula bergerak walau sangat lemah.

Setibanya di lokasi seterusnya, kami meneruskan pencarian dengan mengilat gewang dan mengunjun jig dengan pantas. Segalanya tampak berbaloi apabila Krel berjaya mendaratkan seekor lagi tenggiri menggunakan gewang. Tidak lama kemudian Salmi yang tidak henti berusaha akhirnya mendapat sambaran di bahagian depan bot. Ternyata Bakau Speed Jig 40g yang diunjun secara pantas berjaya memikat seekor lagi tenggiri. Beliau tidak menghadapi masaalah mengawal larian tenggiri kerana joran Ajiking Atom Light Jig PE1-3 beliau bertindak cemerlang mengekang larian ikan. Tambahan lagi beliau menggunakan kekili Wahoo Plus HS yang dilengkapi gear ratio yang tinggi dengan mudah mengarau tenggiri tersebut.

Azley dan Shuhairin yang masih belum berjaya menaikkan tenggiri semakin tertekan. Pelbagai jig dan gewang digunapakai namun belum mampu menjinakkan si gigi tajam ini. Semasa sibuk dengan sesi mengambil gambar Salmi bersama hasil tangkapan, Azley yang berada di hadapan bot berjaya menaikkan seekor kerapu dengan menggunakan jig.

Sekali lagi kami bertukar ke lokasi lain. Dalam perjalanan tiba-tiba kedengaran letupan dari dalam enjin dan bot dihentikan serta merta. Tiada apa yang mampu kami lakukan kerana didapati gear box enjin tersebut pecah. Kami terpaksa membatalkan hasrat untuk ke lubuk seterusnya walaupun jam baru menunjukkan pukul 2 petang. Tidak mahu mengambil risiko dengan menggunakan satu enjin, kami bergerak pulang dengan sangat perlahan dan mengambil masa hampir 4 jam untuk sampai ke jeti.

Walaupun kami gagal mendapatkan hasil yang lumayan selama 2 hari memancing, namun kami berjaya mengharungi dugaan yang hadir tanpa disangka. Secara keseluruhannya kami berjaya melakukan ujian lapangan terhadap joran baru Ajiking Atom Light Jig dan Atom Jig keluaran TCE Tackles Malaysia.

Kesimpulannya, untuk pancingan kaedah light jigging mahupun casting yang banyak dipraktikan di kawasan pantai timur semenanjung dan Sabah, penggunaan joran Ajiking Atom Light Jig dan Atom Jig ini adalah sangat disarankan kerana telah diuji keupayaannya. Gandingan mantap joran ini dengan kekili Ajiking Phantom dan Ajiking Barramundi X yang direka untuk digunakan samaada di air tawar dan air masin melengkapkan gandingan sempurna peralatan jigging anda.