Ladyfish

You are currently viewing Ladyfish

Ladyfish atau nama tempatannya ikan bandang merupakan sejenis ikan karnivor ataupun pemakan daging. Ikan ini tergolong di dalam kumpulan ikan yang dikenali sebagai keluarga ikan Elopidae yang terdiri daripada spesis sirip yang mempunyai filamen lembut.

Lokasi yang sinonim dengan kehadiran ikan ladyfish ini ialah di sepanjang pantai Atlantik Amerika Selatan, pantai timur Amerika Selatan menuju ke Brazil, Lautan Pasifik dan Lautan Hindi sehinggalah ke perairan negara kita iaitu Malaysia.

Jika dilihat dari segi fizikalnya anda yang tidak terbiasa mungkin akan musykil dalam menentukan sama ada ikan yang ditangkap ialah Ladyfish ataupun Bonefish. Mungkin disebabkan faktor kedua-dua jenis ikan ini berasal dari spesis Elopiformes. Tetapi ikan ini dapat dibezakan melalui konfigurasi dan saiz mulut di antara keduanya.

Ladyfish secara ringkasnya berwarna perak di bahagian tepi dan keperakan hijau atau biru di bahagian belakang. Bentuk badan ikan pula memanjang dengan ekor besar bercabang. Seperti yang telah dinyatakan sebentar tadi, memandangkan ikan ini merupakan spesis Karnivor maka dietnya terdiri daripada ikan kecil atau udang. Ikan ini lebih banyak ditangkap oleh pemancing untuk dijadikan umpan atau ‘koleksi’ pancingan dan agak jarang dipasarkan untuk tujuan komersial mungkin disebabkan dagingnya yang dipenuhi tulang-tulang halus.