Pengalaman menjadikan ikan merah salah satu koleksi ikan pemangsa yang berjaya dipancing tidak akan dilupakan oleh Ah Ping. Beliau telah menggunakan umpan Bakau jig bersama Joran Ajiking Verona serta Kekili Shinju Red Moon. Tiga kombinasi alatan ini berjaya menundukkan spesis ikan merah dengan anggaran berat 2.5 kg.
Pada ketika itu, ikan merah terbabit telah dipancing di kawasan Tuas Payar, Kedah. Jika diteliti kawasan yang sinonim dengan habitat ikan merah yang berada dalam kelompok keluarga Lutjanie atau Snapper family ini, spesis ini dijumpai bermula dari kawasan berbatu hingga lautan dengan tumpuan lebih kepada kawasan karang. Dari segi taburan tempatan ikan ini biasanya mendiami kawasan Sabah, Sarawak dan sekitar Laut China Selatan manakala dari segi taburan antarabangsa pula ikan merah boleh diperoleh di kawasan Laut Arab hingga lautan Hindi, Papua New Guinea dan Selatan Jepun ke Utara Australia.
Dari segi fizikal pula bentuk ikan ini dikatakan seakan sama dengan ikan siakap merah namun perbezaan dapat dilihat dari segi gigi kedua-dua ikan ini kerana ikan siakap lebih tajam. Dari segi berat pula, terdapat rekod menunjukkan ikan merah boleh mencapai berat sehingga 10 kg dengan kepanjangan 79cm. Walaubagaimanapun, selalunya anggaran berat sinonim dalam kalangan pemancing tempatan ialah 1kg dengan panjang 40cm. Paling penting warna merah pada badan ikan ini adalah lebih bewarna merah pucat.